MAHKAMAH SESYEN DAN MAJISTRET AMPANG
LATAR BELAKANG:
Mahkamah Ampang telah ditubuhkan pada bulan Julai 1993 bertempat di Lot Kedai 3 tingkat di Ampang Point, Selangor. Pada 12 Mac 2001, Mahkamah Ampang telah berpindah dan beroperasi ke bangunan sewaan yang beralamat Aras 1. Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Ampang Selangor. Bermula pada 1 Oktober 2024, Mahkamah Ampang telah berpindah dan memulakan operasi dibangunan baru di alamat Mahkamah Ampang, Jalan Pandan Indah, Pandan Indah, 55100, Selangor Darul Ehsan. Bangunan baru Mahkamah Ampang ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK- 10, RP 4). Setelah melalui Makmal Pengurusan Nilai (VM Lab) dan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE Lab) pada tahun 2016. Bangunan baru mahkamah ampang juga mempunyai sepuluh (10) bilik bicara iaitu empat (4) bilik bicara Mahkamah Sesyen dan enam (6) bilik bicara Mahkamah Majistret yang berkonsepkan “Urban Court”.
PENGENALAN:
Pada 12 Mac 2001, Mahkamah Ampang hanya mendengar kes-kes Jenayah sahaja dan Kes-kes Sivil Daerah Ampang pula didengar di Mahkamah Bandar Baru Bangi. Bermula pada bulan januari 2021 Mahkamah Ampang mula mendegar dan Kes-kes Sivil Daerah Ampang sendiri sehingga kini. Pada masa ini, Mahkamah Ampang terdapat tiga (3) Mahkamah Sesyen yang mana mendengar kes-kes jenayah am, kes-kes sivil, dan kes-kes jenayah seksual kanakkanak manakala dua (2) Mahkamah Majistret yang mana mendengar kes-kes Jenayah, Sivil, Saman Jabatan, saman Trafik, kes-Kes Juvana, Dan Kanak-Kanak JKM.
PEGAWAI DAN KAKITANGAN MAHKAMAH AMPANG:
Mahkamah Ampang setakat ini mempunyai seramai 33 orang pegawai dan kakitangan yang terdiri daripada 3 orang Hakim Sesyen, 2 orang Majistret, 2 orang Penolong Pendaftar, 1 orang Setiausaha Hakim, 1 orang Pembantu Tadbir (Penkeranian/Operasi), 10 orang Jurubahasa, 9 orang Pembantu Tadbir UndangUndang, 3 orang Pembantu Operasi, dan 2 orang Pembantu Kewangan.
TIMBALAN PENDAKWA RAYA / POLIS:
Di mahkamah Ampang terdapat seramai lima (5) Orang Timbalan Pendakwaraya yang ditempatkan di Mahkamah Ampang. Setiap Mahkamah Sesyen dan Majistret mempunyai seorang Timbalan Pendakwaraya yang ditempatkan secara tetap. Bagi kekuatan anggota Polis pula, bilangan Polis yang ditempatkan di Mahkamah Ampang adalah seramai 18 orang. Polis Mahkamah diketuai oleh seorang pegawai berpangkat 'Assistant Superintendant of Police' (ASP) serta 25 orang Polis pengiring yang diketuai oleh seorang Sarjan.
TERITORIAL MAHKAMAH AMPANG:
Bidangkuasa Teritorial Mahkamah Ampang meliputi kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. Terdapat 8 Balai Polis didalam Daerah Ampang Jaya iaitu:
1) Balai Polis Ampang
2) Balai Polis Pandan Indah
3) Balai Polis Hulu Klang
4) Balai Polis Taman Melawati
5) Balai Polis Ukay Perdana
6) Balai Polis Pandan Perdana
7) Balai Polis Taman Muda
8) Balai Polis Bukit Indah
FASILITI-FASILITI DI MAHKAMAH AMPANG:-
PERKHIDMATAN KAUNTER:
Mahkamah ampang mempunyai fasiliti-fasiliti yang lengkap untuk melancarkan dan memudahkan proses penyampaian servis kepada “pemegang taruh” dan pelanggan Mahkamah Ampang. Antaranya adalah Pejabat Pentadbiran dan Pendaftaran Mahkamah Ampang Pejabat pentadbiran dan pendaftaran menempatkan kuanter pendaftaran kes-kes dan permohonan-permohonan jenayah, kaunter kewangan, dan kaunter persuruhjaya sumpah.
BILIK BICARA / OPEN COURT:
Untuk bilik bicara, Mahkamah Ampang mempunyai 5 Mahkamah Terbuka yang mana, tiga (3) Mahkamah Terbuka digunakan untuk mendengar kes-kes jenayah dibawah bidangkuasa Mahkamah Sesyen. Dua (2) Mahkamah Terbuka digunakan untuk mendengar kes-kes dibawah bidangkuasa Mahkamah Majistret. Setiap Mahkamah Terbuka dilengkapi dengan fasiliti Sistem Court Recording Transcription & Voice-To-Text (RVT) yang membolehkan pengguna mengakses rakaman audio dan visual prosiding yang telah berlangsung.
BILIK PEGUAM:
Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti meja dan kerusi untuk kegunaan peguam.
BILIK TIMBALAN PENDAKWA RAYA:
Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti meja dan kerusi untuk kegunaan seramai lima (5) orang Timbalan Pendakwa Raya di Mahkamah Ampang.
PEJABAT POLIS MAHKAMAH:
Bilik ini juga dilengkapi dengan kemudahan asas, yang mana bilik ini menempatkan seramai 18 orang anggota polis yang terdiri daripada 2 orang pegawai berpangkat ASP dan Inspektor serta 16 anggota. Dengan terbinanya bangunan baru Mahkamah Ampang ini diharapkan dapat memberi keselesaan kepada “pemegang taruh” dan pelanggan Mahkamah Ampang serta menjadi anjakan paradikma bagi pegawai dan kakitangan mahakamah untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada “pemegang taruh” dan pelanggan Mahkamah Ampang.
LATAR BELAKANG
Mahkamah ini telah dibina pada tahun 1978 dan siap sepenuhnya pada tahun 1979. Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting telah dirasmikan pembukaanya oleh D.Y.M.M Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj D.K, D.M.N, S.P.M.S, D.K (Brunei), D.K (Terengganu), D.K (Kelantan), D.K (Perlis), D.K (Johor), D.K (Kedah), S.P.D.K (Sabah), P.P (Sarawak), Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan dan jajahan takluknya pada hari Sabtu, 24 Mac 1979.
LOKASI
Mahkamah Majistret Telok Datok ini terletak di daerah Kuala Langat dan beralamat di Jalan Stadium Jugra, 42700 Banting, Selangor Darul Ehsan, nombor bangunan JKR 1257. Bangunan Mahkamah ini berhampiran dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air (Air Selangor) dan lain-lain jabatan lagi. Bangunan ini juga berhampiran dengan Stadium Jugra dan Dewan Sri Jugra, Telok Datok dan Sungai Langat terletak di belakang Mahkamah ini.
PENGUBAHSUAIAN DAN PENAMBAHBAIKAN PADA BANGUNAN MAHKAMAH.
Dalam tempoh 45 tahun ini, terdapat beberapa pengubahsuaian telah dilakukan terhadap bangunan mahkamah bagi menambah baik bangunan yang sedia ada. Penambahbaikan ini termasuklah, membesarkan ruang pejabat pentadbiran, ruang menunggu, pembesaran lokap tahanan dan pejabat polis mahkamah. Penambahan binaan di luar juga telah dibuat dan dinamakan astaka. Astaka ini ialah ruang menunggu di luar yang berbumbung.
SEJARAH AWAL PEMBUKAAN MAHKAMAH PATI SEMENYIH
Tapak Mahkamah PATI Semenyih terletak berhampiran dengan Taman Bunga Raya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih yang bertapak di dalam kawasan Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin (sekarang dikenali sebagai Depot Tahanan Imigresen Semenyih), yang mana pada awalnya adalah di bawah kawalan Jabatan Penjara Malaysia. Majlis menandatangani Penyerahan Depot Semenyih dari Jabatan Penjara Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia telah diadakan pada 15 Januari 2008 oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Yusof Abu Bakar menandatangani dokumen penyerahan Depot Semenyih manakala Jabatan Penjara diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Wan Mohamad Nazarie Wan Mahmood. Hal ehwal penjagaan kebajikan dan keselamatan depot ditugaskan sementara kepada Ikatan Relawan Malaysia (Rela). Anggota Rela bertugas menjaga depot terbabit dalam tempoh kira-kira setahun dari tarikh penyerahan.
Pada awal penubuhan Mahkamah PATI Semenyih pada tahun 2007, hakim yang mengendalikan kes di mahkamah ini ialah 5 orang hakim berbeza dalam mengendalikan kes secara penggiliran. Jumlah kakitangan mahkamah ketika itu hanya 4 orang kakitangan sahaja.
RUSUHAN
Pada Tahun 2008, telah berlaku rusuhan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih yang membabitkan 30 warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. Siasatan awal mendapati rusuhan berpunca daripada perasaan tidak puas hati pendatang asing terbabit kerana mereka akan dipindahkan ke kem tahanan lain. Disebabkan berlakunya rusuhan tersebut, Mahkamah PATI Semenyih telah ditutup untuk sementara waktu dan telah diarah untuk bersidang sementara di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi memastikan keselamatan kakitangan mahkamah terjaga dan mahkamah dapat bersidang seperti biasa.
PERSIDANGAN SEMENTARA DI MAHKAMAH SEPANG
Pada tahun 2009, semasa penutupan sementara Mahkamah PATI Semenyih di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, kes-kes di mahkamah ini telah bersidang sementara di Mahkamah Sepang di mana pada ketika itu, Mahkamah Sepang terletak di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sungai Pelek, Sepang. Semua kes yang dikendalikan di Mahkamah ini adalah kes-kes tangkapan oleh Imigresen Putrajaya, Shah Alam, KLIA dan Kuala Lumpur.
Pada Tahun 2011, Mahkamah Sepang telah berpindah ke bangunan baru. Pada tarikh 19 Mei 2011, Majlis Penyerahan Bangunan Baru Mahkamah Sepang yang bertempat di Bandar Baru Salak Tinggi telah disempurnakan oleh YB Datuk Liew Vui Keon, Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada ketika itu, semua kes-kes di bawah Imigresen Putrajaya, Shah Alam, KLIA dan Kuala Lumpur telah bersidang sepenuhnya di Mahkamah Sepang.
PEMBUKAAN SEMULA MAHKAMAH PATI SEMENYIH
Mahkamah Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Semenyih telah beroperasi semula pada 6 Januari 2020 di tapak asal mahkamah ini iaitu di dalam Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor.
Hakim pertama selepas pembukaan di tapak asal Mahkamah ini ialah Tuan Saifulakmal bin Mod Said beserta seorang penolong pendaftar dan 6 orang kakitangan lain-lain jawatan.
Tujuan awal penubuhan Mahkamah Khas PATI Semenyih adalah untuk mengendalikan kes-kes pendatang asing tanpa izin ini selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 yang bertujuan untuk mempercepatkan pelupusan kes- kes melibatkan tangkapan warga asing oleh pihak Imigresen.
Penubuhan Mahkamah Khas (PATI) Semenyih ini juga adalah bertujuan untuk mendukung prinsip kemudahan akses kepada keadilan (easy access to justice) terutama bagi komuniti atau penduduk yang jauh daripada mahkamah-mahkamah sedia ada sekali gus mengurangkan keberkesanan kos (cost effectiveness).
Pada awal penubuhan Mahkamah iaitu pada tahun 1979, Majistret dari Mahkamah Majistret Telok Datok bersidang di Mahkamah Sepang dua kali seminggu sebagai Mahkamah Litar. Mahkamah Majistret Sepang diwujudkan untuk mengendalikan kes jenayah dan sivil dalam bidang kuasa Majistret dan ditempatkan di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sungai Pelek, Sepang. Bagi kes dalam bidang kuasa Mahkamah Sesyen pula, kes didaftarkan di Mahkamah Sesyen Klang.
Pada tahun 2007, Mahkamah Sesyen diwujudkan khusus untuk mengendalikan kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada tahun 2009, Jabatan Imigresen mengubahsuai Mahkamah Sesyen Khas (PATI) di Semenyih dan Mahkamah Sepang dijadikan Mahkamah Litar yang mengendalikan kes tangkapan PATI Shah Alam, Putrajaya dan Kuala Lumpur sehingga Mahkamah Sesyen Khas PATI di Semenyih dibubarkan.
Pada 31 Oktober 2010, semua kes PATI didengar oleh Mahkamah Sesyen Sepang. Pada 19 Mei 2011, Majlis Penyerahan Bangunan Baru Mahkamah Sepang yang bertempat di
Bandar Baru Salak Tinggi telah disempurnakan oleh YB Datuk Liew Vui Keon mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada ketika itu, Mahkamah di Sepang hanya terdiri daripada 2 mahkamah sesyen sahaja.Namun seiring peredaran masa dan juga keperluan, 1 mahkamah majistret telah dibuka di bangunan Mahkamah Sepang pada tahun 2015.
Pada Januari 2020, Mahkamah Sesyen Khas PATI Semenyih telah beroperasi semula dan semua kes PATI di Mahkamah Sepang telah dikembalikan ke Mahkamah Khas PATI Semenyih.Kini, Mahkamah Sepang yang terdiri daripada 2 Mahkamah Sesyen dan 1 Mahkamah Majistret hanya mendengar kes-kes jenayah dan sivil.
SEJARAH MAHKAMAH SELAYANG
Jalan Pegawai, KM16 Jalan Ipoh,68100 Batu Caves, Selangor
Sebelum Mahkamah Selayang yang dikenali pada hari ini, mahkamah ini dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Litar Rawang. Mahkamah Litar Rawang mula beroperasi sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi iaitu pada 1953 di Pekan Rawang. Pada awal penubuhannya, Majistret dari Mahkamah Majistret Tanjung Malim diberi tanggungjawab untuk hadir bertugas di Mahkamah Litar Rawang sebulan sekali bagi mendengar kes-kes trafik sahaja. Kemudian apabila peranan mahkamah mulai berkembang, keskes sivil dan jenayah mula didaftarkan di Mahkamah Majistret Rawang, Majistret dari Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pula diberi tanggungjawab untuk hadir bertugas sebulan sekali untuk mendengar kes-kes yang meliputi kes-kes trafik, sivil dan jenayah bagi kawasan Gombak di Mahkamah Litar Rawang sehinggalah tahun 1986.
Pada bulan September 1986 peranan Mahkamah Litar Rawang dihentikan dengan tertubuhnya Mahkamah Majistret Rawang di Pekan Rawang. Ketika Mahkamah Majistret Rawang ditubuhkan, seorang Majistret tetap ditugaskan di Mahkamah Majistret Rawang dengan jumlah kakitangan ketika itu adalah seramai 8 orang sahaja. Tuan Pretam Singh a/l Dashan Singh merupakan Majistret pertama yang ditugaskan di Mahkamah Majistret Rawang. Ketika itu, hanya satu Mahkamah Majistret yang mengendalikan keskes trafik, sivil dan jenayah bagi kawasan Daerah Gombak.
Tuntutan arus pembangunan yang berlaku sekitar bandar Rawang pada lewat tahun 1999 turut melibatkan Mahkamah Majistret Rawang pada ketika itu. Mahkamah Majistret Rawang telah dipindahkan ke lokasi baru iaitu di kawasan Selayang pada 16 Disember 1999 dan beroperasi di bangunan lot kedai dengan mengekalkan nama Mahkamah Majistret Rawang sehinggalah pada tahun 2003.
Tanggal 13 Julai 2003 Mahkamah Majistret Rawang sekali lagi berpindah lokasi dan kali ini ke bangunan sendiri di kawasan Selayang dengan dikenali sebagai Mahkamah Sesyen & Majistret Selayang. Namun begitu, Mahkamah Sesyen hanya mula beroperasi setahun kemudian iaitu pada tahun 2004 bagi mendengar kes-kes sivil sahaja. Puan Hayatul Akmal binti Abdul Aziz merupakan Hakim Mahkamah Sesyen yang pertama di Mahkamah Selayang tersebut. Ketika itu, terdapat juga tiga Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes sivil, jenayah dan trafik.
Pada 1 Januari 2012, Mahkamah Sesyen mula mendengar kes-kes jenayah bagi Daerah Gombak. Oleh demikian, tanggungjawab Hakim Mahkamah Sesyen yang sedia ada ketika itu bukan sahaja lagi mendengar kes-kes sivil tetapi juga kes-kes jenayah.
Pada 16 Januari 2016 struktur peranan Mahkamah Sesyen & Majistret Selayang mengalami perubahan yang mana satu lagi Mahkamah Sesyen telah dibuka manakala satu Mahkamah Majistret telah ditutup. Ketika ini satu Mahkamah Sesyen bertanggungjawab mendengar kes-kes sivil sahaja manakala satu Mahkamah Sesyen lagi bertanggungjawab mendengar keskes jenayah. Manakala bagi Mahkamah Majistret pula, satu Mahkamah Majistret mendengar kes-kes jenayah, sivil dan kanak-kanak manakala satu Mahkamah Majistret lagi akan mendengar kes-kes jenayah, sivil dan trafik.
Pembahagian semula kes di antara dua Mahkamah Sesyen telah dilakukan pada 23 Oktober 2017 yang mana kedua-dua Mahkamah Sesyen mendengar kes sivil dan kes jenayah sama rata kecuali Mahkamah Sesyen 1 mendengar kes sivil kod B dan yang melibatkan injunksi, deklarasi dan ‘specific performance’ sebagai tambahan.
Pada 14 November 2018 pembahagian semula kes di antara dua Mahkamah Sesyen telah dilakukan sekali lagi yang mana kedua-dua Mahkamah Sesyen mendengar kes sivil dan kes jenayah sama rata kecuali Mahkamah Sesyen 1 mendengar kes-kes sivil kod-kod C (pembinaan), CY (siber), KP (kecuaian profesional) dan F (fitnah) sebagai tambahan. Ini adalah selaras dengan Pekeliling Ketua Pendaftar Bil. 2 Tahun 2018.
Terkini, Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang diterajui oleh 2 orang Hakim Mahkamah Sesyen, 2 orang Majistret, 2 orang Penolong Pendaftar dan dibantu 24 orang kakitangan sokongan.
Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang ini turut menempatkan sebuah bangunan penyimpanan fail-fail lama dari Mahkamah seluruh negeri Selangor. Penambahbaikan dari masa ke semasa dan perkembangan mutu perkhidmatan Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang sentiasa diutamakan agar selari dengan peningkatan kes yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang dari tahun ke tahun.

Majistret pertama Mahkamah Rawang, Tuan Pretam Singh a/l Dashan Singh bersama kakitangan pada ketika itu.

Bangunan Mahkamah Rawang pada tahun 1989

Bangunan Mahkamah Selayang sebelum naik taraf

Bangunan Mahkamah Selayang kini