Skip to main content
Please wait...

Sejarah Mahkamah Selangor

Pendahuluan

 

Shah Alam menggantikan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978 kerana penubuhan Kuala Lumpur yang menjadi Wialayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Shah Alam pernah dikenali sebagai Sungai Renggam Plantation yang terkenal dengan ladang getah dan kelapa sawit. Kawasan yang sama dikenali sebagai Batu Tiga sebelum kemerdekaan Malaysia. Di bawah saranan V. Antolic, Penasihat Perancang Bandar dari Bangsa-Bangsa Bersatu, keseluruhan kawasan Simpang Renggam Plantation dijadikan sebuah Bandar oleh Kerajaan Negeri Selangor.

 

Nama ‘Shah Alam’ telah dipilih oleh Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena nama Almarhum ayahanda baginda, Almarhum Sultan Alam Shah. Shah Alam dibuka pada tahun 1963 dengan tujuan untuk menjadikannya pusat pentadbiran Selangor. Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor pada 7 Disember 1978 dan diberikan status Bandaraya pada 10 Oktober 2000.

 

Mahkamah Shah Alam

 

Pada 16 April 1989, Mahkamah Shah Alam ditempatkan di Bangunan Plaza Perangsang, Persiaran Perbandaran Shah Alam. Pentadbiran Mahkamah Shah Alam beroperasi sepenuhnya pada 22 Mei 1989. Kepesatan pembangunan Bandaraya Shah Alam telah mendorong kepada peningkatan kes yang dibawa ke Mahkamah manakala kapasiti keluasan ruang di bangunan Plaza Perangsang tidak boleh menampung keperluan Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Shah Alam perlu mempunyai bangunannya sendiri kerana kekurangan ruang dan prasarana asas yang kondusif. Tambahan pula pada tahun 1990-an, Pusat Tanggungjawab Negeri Selangor juga mengawal selia pentadbiran Mahkamah Rendah iaitu di Daerah Klang/Kuala Langat, Daerah Petaling Jaya/Shah Alam, Daerah Gombak/Hulu Selangor, Daerah Kuala Selangor/Sungai Besar dan Daerah Hulu Langat/Sepang.

 

Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pemberian milik tanah di Lot T2 Seksyen 5 Bandar Shah Alam dalam Daerah Petaling dengan keluasan 3.25 hektar yang dikenal pasti sebagai tapak pembinaan bangunan baru Mahkamah Shah Alam. Bangunan baru Mahkamah Shah Alam diduduki sepenuhnya pada 1 Ogos 2000. DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke Sebelas, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj berkenan mengurniakan jam besar untuk diletakkan di hadapan Bangunan Utama Mahkamah Shah Alam.

 

Pada 14 Oktober 2000, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj telah merasmikan bangunan Mahkamah baru Shah Alam Selangor yang menempatkan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di bawah satu bumbung. Selain itu juga, bangunan yang sama ini turut menempatkan 6 Mahkamah Tinggi, 4 Mahkamah Sesyen dan 6 Mahkamah Majistret.

 

Pembinaan Bangunan Tambahan (ANNEX) Dan Kemudahan

 

Seiring dengan kemajuan dan pembangunan pesat di negeri Selangor dan komitmen berterusan kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan mutu perkhidmatan Badan Kehakiman, Kerajaan meluluskan pembinaan bangunan tambahan yang melibatkan kos projek sebanyak RM93.1 juta. Bangunan tambahan ini mengandungi 13 bilik bicara yang terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Mahkamah Sesyen Khas Perdagangan, Mahkamah Jenayah Am dan Mahkamah Sivil. Bangunan Tambahan ini juga dikenali sebagai Bangunan Annexe.

 

Dengan terbinanya Bangunan Annexe ini, Mahkamah Shah Alam yang dikenali juga dengan Mahkamah Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah keseluruhannya mempunyai 41 bilik bicara yang menempatkan 22 Mahkamah Tinggi, 14 Mahkamah Sesyen dan 5 Mahkamah Majistret. Semua Mahkamah ini dilengkapi dengan Sistem Rakaman dan Transkripsi (Court Recording and Transcription System/CRT) yang membolehkan pengguna mengakses rakaman audio dan visual prosiding mahkamah.

 

Selain itu, terdapat 2 mahkamah terbuka yang dilengkapi dengan Sistem Saksi Rentan (Vulnerable Witness System) yang membolehkan keterangan saksi rentan dibuat di dalam bilik khas dan boleh diakses oleh Hakim, Pendakwa Raya dan Peguam di mahkamah terbuka. Terdapat sebuah bilik lelong, perpustakaan, surau, cafeteria dan ruang meletak kenderan untu Pegawai Kehakiman, kakitangan Mahkamah, Peguam dan orang awam.

 

Majlis Perasmian Bangunan Tambahan (Annexe) Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 12 Mei 2011. Turut hadir dalam Majlis Perasmian ini ialah YAA Tun Zaki bin Tun Mohamed Azmi, Ketua Hakim Negara, YAA Tan Sri Ariffin bin Zakaria, Hakim Besar Negara, dan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid Bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor serta semua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam.

 

Pada 3 September 2012, Mahkamah Sesyen Khas yang mengendalikan kes berkaitan dengan Alam Sekitar diwujudkan melalui Pekeliling Ketua Pendaftar Bil.3 Tahun 2012 yang dikenali sebagai Mahkamah Sesyen Khas Alam Sekitar atau Green Court di Negeri Selangor. Sebanyak 7 Mahkamah Sesyen Khas dan 3 Mahkamah Majistret Khas ditubuhkan bagi maksud ini. Cetusan wacana “Green Court” bermula pada 14 Januari 2012, sewaktu Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2012 oleh YAA Tun Ariffin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara yang telah mengumumkan penubuhan Mahkamah Sesyen Khas untuk mengendalikan kes di bawah undang-undang alam sekitar.

 

Bermula pada 1 April 2013, sebuah Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah dikhaskan untuk mendengar kes pembinaan. Pada 14 April 2013, Mahkamah Pembinaan (Construction Court) telah dirasmikan oleh YAA Tun Ariffin Bin Zakaria, Ketua Hakim Negara. Kewujudan Mahkamah Pembinaan telah meletakkan nama Malaysia sebagai Negara kedua di dunia yang mempunyai Mahkamah Khas bagi industri pembinaan selepas negara United Kingdom yang menubuhkan Mahkamah Teknologi dan Pembinaan (TCC) di London.

 

Pada 28 Februari 2014, YAA Tun Ariffin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara merasmikan Pusat Mediasi Mahkamah Selangor di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Turut hadir pada Majlis Perasmian ini ialah YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya dan YA Datuk Ramly Ali, Hakim Pengurus bagi Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Sivil). Proses mediasi di mahkamah adalah percuma dan perantara terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi dan Pegawai Kehakiman.

Tarikh peristiwa : 17-10-1970

 

Pada hari ini dalam tahun 1970, DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamudin Alam Shah, berkenan merasmikan pembukaan mahkamah baru di Petaling Jaya, Selangor. Turut hadir, Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Idris Shah, Menteri Besar Selangor, Dato’ Harun Idris, Peguam Negara Tan Sri Kadir bin Yusof, Ketua Hakim Tun Azmi bin Haji Muhamad, Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Tuan Haji Mohamad Azmi bin Dato’ Haji Kamaruddin serta Majistret-majistret.

 

Dalam titahnya, Baginda menyeru rakyat menghapuskan perasaan iri hati terhadap kemudahan dan kedudukan hakim-hakim yang diberi oleh perlembagaan dan kerajaan. Rakyat juga diseru untuk bersama-sama memelihara dasar kebebasan kehakiman, selaras dengan prinsip rukun negara yang keempat, Kedaulatan Undang-undang.

 

Perasmian Mahkamah ini merupakan satu langkah yang tepat terutama dalam usaha membentuk sistem kehakiman yang lebih kemas dan sistematik.

Pada awal abad ke 19, semua perbicaraan dikendalikan oleh Majistret-Majistret dengan menggunakan undang-undang British di bawah pengawasan dan nasihat pegawai Inggeris.

 

Tapak Bangunan Mahkamah yang pertama di Klang ialah di Pejabat Pos Besar Klang sekarang terletak di Jalan Dato’ Hamzah.

 

Oleh sebab tempat yang lama adalah tidak sesuai lagi, maka pada tahun 1965, Mahkamah Klang telah berpindah ke bangunan lain iaitu bekas Rumah Rehat yang terletak di atas bukit sehingga sekarang dengan mempunyai hanya 2 bilik bicara sahaja. Bangunan ini telah dibuka dengan rasminya oleh D.Y.M.M Sultan Selangor Darul Ehsan pada 3 April 1965.

 

Memandangkan bilangan kes-kes dan kakitangan Mahkamah telah bertambah dan 2 bilik bicara tidak lagi dapat menampung keperluan-keperluan semasa, maka pada tahun 1981 bangunan tambahan telah dibina.

 

Bangunan baru ini menempatkan 2 buah bilik bicara sebuah pejabat Pentadbiran, sebuah pejabat pendaftaran Sivil dan sebuah Kamar Pendaftar.

Latar Belakang Mahkamah Sesyen dan Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor

 

Mahkamah Sesyen dan Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor telah mula beroperasi pada 16 Julai 2002. Mahkamah ini yang beralamat di Lot 3, Jalan 15/1, Off Jalan Pekeliling, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor mempunyai keluasan kawasan lebih kurang dua hektar. Bangunan Mahkamah ini menempatkan dua buah bilik bicara, iaitu sebuah bagi Mahkamah Sesyen dan juga sebuah lagi bagi Mahkamah Majistret. Selain itu, Mahkamah ini dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, pejabat polis, bilik mesyuarat, bilik peguam, bilik TPR, bilik saksi, perpustakaan dan surau.

 

Pada awal pembukaannya, mahkamah ini hanya dikhususkan untuk mendengar tuntutan sivil dalam bidang kuasa Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen bagi seluruh daerah Hulu Langat. Bermula bulan Januari 2021 Mahkamah Sesyen dan Majistret Bandar Baru Bangi telah diarahkan untuk mendengar kes-kes jenayah dan kes-kes sivil bagi kawasan Bangi, Semenyih dan Beranang. Pada masa ini, Mahkamah Bandar Baru Bangi beroperasi dengan kekuatan seramai 21 orang tenaga kerja yang terdiri daripada seorang Hakim Mahkamah Sesyen dan seorang Majistret Mahkamah Majistret dan 19 orang kakitangan tetap.

 

Bandar Baru Bangi adalah bandar elit yang menyediakan aktiviti komersial, perindustrian, perniagaan, institusi latihan, rekreasi dan pendidikan berdasarkan perancangan bersepadu dan berkonsepkan Bandar dalam taman. Kedudukan Bandar Baru Bangi terletak antara Kajang dan Putrajaya (dahulunya Prang Besar), kira-kira 25 kilometer jaraknya dri ibu kota, Kuala Lumpur. Pembinaan bangunan Mahkamah Bandar Baru Bangi telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke Tujuh.

 

Pada 11 Mac 1970, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian milik tapak Mahkamah Kajang di Lot 149, Seksyen 9 Bandar Kajang dalam Daerah Hulu Langat yang berkeluasan 0.263 hektar melalui Dokumen hak milik tapak Mahkamah Kajang. Pada tahun 1972, hanya seorang Majistret yang ditempatkan di Mahkamah Kajang yang bersidang di bangunan bersebelahan Balai Polis Daerah Kajang. Berikutan dengan peningkatan kes sivil di Kajang, satu Mahkamah Majistret diwujudkan dan ditempatkan di lot kedai yang disewa untuk mendengar kes sivil. Pada tahun 1970-an, Kajang sering dilanda banjir besar yang menyebabkan kawasan mahkamah juga ditenggelami air dan merosakkan bangunan dan dokumen mahkamah dan tidak selamat dihuni.

 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan, Kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan pembinaan bangunan baru Mahkamah Kajang. Pembinaan sebuah bangunan baru setinggi 10 tingkat ini dilengkapi dengan 1 bilik bicara Mahkamah Sesyen, 2 bilik bicara Mahkamah Majistret, bilik mesyuarat, bilik media, bilik peguam, bilik Pendakwa Raya, pejabat polis, bilik tahanan, bilik kebal, bilik fail, pejabat pentadbiran dan pendaftar kes serta bilik kakitangan sokongan.

 

Bangunan baru Mahkamah Kajang siap dibina pada 10 Januari 2012. Pada 2 Mei 2012, Majlis Penyerahan Bangunan baru Mahkamah Kajang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Ismail bin Ibrahim, mantan Ketua Pengarah, BHEUU kepada YBhg. Dato’ Hashim bin Hamzah mantan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. Bangunan Mahkamah Kajang beroperasi sepenuhnya pada 4 Jun 2012.

Bangunan Mahkamah Kuala Kubu Bharu telah dirancang untuk dibina di tapak bersebelahan Pejabat Pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor yang bertempat di Jalan Bukit Kerajaan. Tapak di Lot 28, Seksyen 14, Kuala Kubu Bharu dalam Daerah Hulu Selangor yang berkeluasan 0.391 hektar diluluskan untuk pembinaan bangunan Mahkamah Kuala Kubu Bharu. Dokumen hak milik dikeluarkan pada 22 Jun 2007. Pembinaan bangunan Mahkamah Kuala Kubu Bharu melibatkan 1 bilik bicara Mahkamah Sesyen, bilik Peguam, bilik Pendakwa Raya, pejabat polis, bilik saksi dan kanak-kanak dengan kemudahan pelbagai guna, pejabat pentadbiran dan pendaftaran kes, lokap berasingan bagi tahanan lelaki dan perempuan, pondok pengawal dan juga bilik utiliti yang lain.

Daerah Kuala Selangor meliputi kawasan pentadbiran Pekan Kuala Selangor, Ijok, Jeram, Assam Jawa, Bukit Rotan, Seri Tiram Setia, Tanjong Karang, Sungai Janggut, Sungai Sembilang, Bestari Jaya, Kampung Kuantan, Sungai Buloh, Pasir Penambang, Puncak Alam, Sujana Utama dan Desa Coalfields. Majlis Daerah Kuala Selangor ditubuhkan pada tahun 1978.

 

Mahkamah Majistret Kuala Selangor dibina bersebelahan laluan utama kenderaan di Jalan Klang, yang menyusur sehingga ke Bandar Klang (ke arah tenggara Mahkamah).

Sungai Besar merupakan pusat bandar dan pekan terbesar yang terletak dalam daerah Sabak Bernam. Sungai Besar menjadi pusat pentadbiran Majlis Daerah Sabak Bernam sejak tahun 1970.

 

Daerah Sabak Bernam meliputi 5 mukim iaitu Mukim Sabak, Bagan Nahkoda Omar/Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Pancang Bedena dan Pasir Panjang dan di bahagian utara, kawasan yang bersempadan dengan Kampung Kota (Perak) hingga ke kawasan Sungai Nibong sahaja. Pada masa kini, kawasan yang diliputi ialah sehingga ke Sungai Burong, Sekinchan. Keluasan kawasan Daerah Sabak Bernam ialah 99,714 hektar.

 

Mahkamah Majistret Sungai Besar dahulunya dikenali dengan nama Mahkamah Majistret Sabak Bernam kerana lokasinya yang terletak bersebelahan Sungai Bernam. Namun, kejadian banjir kilat yang kerap berlaku apabila hujan lebat memusnahkan fail-fail Mahkamah dan peralatan kayu telah menyebabkan Mahkamah Majistret Sungai Besar untuk berpindah ke tapak dan lokasi baru yang berada dalam kawasan Kompleks Pejabat Daerah Sabak Bernam, bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam. Mahkamah ini terletak berdekatan dengan laluan utama kenderaan yang menuju ke Bandar Klang (ke arah tenggara Mahkamah) dan Bandar Teluk Intan (arah barat laut Mahkamah).

 

Pada 14 Jun 1978, bangunan lama Mahkamah mengalami kebakaran disebabkan litar pintas. Hampir kesemua fail Mahkamah termasuklah fail-fail melibatkan kes dan pentadbiran telah musnah dijilat api.

 

Lanjutan dari kebakaran ini, suatu bangunan baharu Mahkamah telah dibina bersebelahan Sungai Bernam dan telah dirasmikan oleh Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pada 14 Januari 1978.

 

Pembinaan bangunan Mahkamah Majistret Sungai Besar di tapak kawasan Kompleks Pejabat Daerah Sabak Bernam meliputi sebuah Mahkamah Majistret, Bahagian Pendaftaran, utiliti kegunaan awam dan kakitangan Mahkamah dan beberapa buah bilik lain termasuklah bilik polis Mahkamah, 2 lokap berasingan untuk tahanan lelaki dan perempuan, pondok pengawal dan bilik penyelenggaraan bangunan. Mahkamah Majistret Sungai Besar mula beroperasi di tapak ini bermula dari tahun 1990 sehingga kini.

MAHKAMAH SESYEN DAN MAJISTRET AMPANG

 

LATAR BELAKANG:

 

Mahkamah Ampang telah ditubuhkan pada bulan Julai 1993 bertempat di Lot Kedai 3 tingkat di Ampang Point, Selangor. Pada 12 Mac 2001, Mahkamah Ampang telah berpindah dan beroperasi ke bangunan sewaan yang beralamat Aras 1. Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Ampang Selangor. Bermula pada 1 Oktober 2024, Mahkamah Ampang telah berpindah dan memulakan operasi dibangunan baru di alamat Mahkamah Ampang, Jalan Pandan Indah, Pandan Indah, 55100, Selangor Darul Ehsan. Bangunan baru Mahkamah Ampang ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK- 10, RP 4). Setelah melalui Makmal Pengurusan Nilai (VM Lab) dan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE Lab) pada tahun 2016. Bangunan baru mahkamah ampang juga mempunyai sepuluh (10) bilik bicara iaitu empat (4) bilik bicara Mahkamah Sesyen dan enam (6) bilik bicara Mahkamah Majistret yang berkonsepkan “Urban Court”.

 

PENGENALAN:

 

Pada 12 Mac 2001, Mahkamah Ampang hanya mendengar kes-kes Jenayah sahaja dan Kes-kes Sivil Daerah Ampang pula didengar di Mahkamah Bandar Baru Bangi. Bermula pada bulan januari 2021 Mahkamah Ampang mula mendegar dan Kes-kes Sivil Daerah Ampang sendiri sehingga kini. Pada masa ini, Mahkamah Ampang terdapat tiga (3) Mahkamah Sesyen yang mana mendengar kes-kes jenayah am, kes-kes sivil, dan kes-kes jenayah seksual kanakkanak manakala dua (2) Mahkamah Majistret yang mana mendengar kes-kes Jenayah, Sivil, Saman Jabatan, saman Trafik, kes-Kes Juvana, Dan Kanak-Kanak JKM.

 

 

PEGAWAI DAN KAKITANGAN MAHKAMAH AMPANG:

Mahkamah Ampang setakat ini mempunyai seramai 33 orang pegawai dan kakitangan yang terdiri daripada 3 orang Hakim Sesyen, 2 orang Majistret, 2 orang Penolong Pendaftar, 1 orang Setiausaha Hakim, 1 orang Pembantu Tadbir (Penkeranian/Operasi), 10 orang Jurubahasa, 9 orang Pembantu Tadbir UndangUndang, 3 orang Pembantu Operasi, dan 2 orang Pembantu Kewangan.

 

TIMBALAN PENDAKWA RAYA / POLIS:

 

Di mahkamah Ampang terdapat seramai lima (5) Orang Timbalan Pendakwaraya yang ditempatkan di Mahkamah Ampang. Setiap Mahkamah Sesyen dan Majistret mempunyai seorang Timbalan Pendakwaraya yang ditempatkan secara tetap. Bagi kekuatan anggota Polis pula, bilangan Polis yang ditempatkan di Mahkamah Ampang adalah seramai 18 orang. Polis Mahkamah diketuai oleh seorang pegawai berpangkat 'Assistant Superintendant of Police' (ASP) serta 25 orang Polis pengiring yang diketuai oleh seorang Sarjan.

 

TERITORIAL MAHKAMAH AMPANG:

Bidangkuasa Teritorial Mahkamah Ampang meliputi kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. Terdapat 8 Balai Polis didalam Daerah Ampang Jaya iaitu:

 

1)    Balai Polis Ampang

2)    Balai Polis Pandan Indah

3)    Balai Polis Hulu Klang

4)    Balai Polis Taman Melawati

5)    Balai Polis Ukay Perdana

6)    Balai Polis Pandan Perdana

7)    Balai Polis Taman Muda

8)    Balai Polis Bukit Indah

 

FASILITI-FASILITI DI MAHKAMAH AMPANG:-

 

PERKHIDMATAN KAUNTER:

 

Mahkamah ampang mempunyai fasiliti-fasiliti yang lengkap untuk melancarkan dan memudahkan proses penyampaian servis kepada “pemegang taruh” dan pelanggan Mahkamah Ampang. Antaranya adalah Pejabat Pentadbiran dan Pendaftaran Mahkamah Ampang Pejabat pentadbiran dan pendaftaran menempatkan kuanter pendaftaran kes-kes dan permohonan-permohonan jenayah, kaunter kewangan, dan kaunter persuruhjaya sumpah.

 

BILIK BICARA / OPEN COURT:

Untuk bilik bicara, Mahkamah Ampang mempunyai 5 Mahkamah Terbuka yang mana, tiga (3) Mahkamah Terbuka digunakan untuk mendengar kes-kes jenayah dibawah bidangkuasa Mahkamah Sesyen. Dua (2) Mahkamah Terbuka digunakan untuk mendengar kes-kes dibawah bidangkuasa Mahkamah Majistret. Setiap Mahkamah Terbuka dilengkapi dengan fasiliti Sistem Court Recording Transcription & Voice-To-Text (RVT) yang membolehkan pengguna mengakses rakaman audio dan visual prosiding yang telah berlangsung.

 

BILIK PEGUAM:

Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti meja dan kerusi untuk kegunaan peguam.

 

BILIK TIMBALAN PENDAKWA RAYA:

Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti meja dan kerusi untuk kegunaan seramai lima (5) orang Timbalan Pendakwa Raya di Mahkamah Ampang.

 

PEJABAT POLIS MAHKAMAH:

Bilik ini juga dilengkapi dengan kemudahan asas, yang mana bilik ini menempatkan seramai 18 orang anggota polis yang terdiri daripada 2 orang pegawai berpangkat ASP dan Inspektor serta 16 anggota. Dengan terbinanya bangunan baru Mahkamah Ampang ini diharapkan dapat memberi keselesaan kepada “pemegang taruh” dan pelanggan Mahkamah Ampang serta menjadi anjakan paradikma bagi pegawai dan kakitangan mahakamah untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada “pemegang taruh” dan pelanggan Mahkamah Ampang.

LATAR BELAKANG

Mahkamah ini telah dibina pada tahun 1978 dan siap sepenuhnya pada tahun 1979. Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting  telah dirasmikan pembukaanya oleh D.Y.M.M Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj D.K, D.M.N, S.P.M.S, D.K (Brunei), D.K (Terengganu), D.K (Kelantan), D.K (Perlis), D.K (Johor), D.K (Kedah), S.P.D.K (Sabah), P.P (Sarawak), Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan dan jajahan takluknya pada hari Sabtu, 24 Mac 1979.

                                                  

LOKASI

Mahkamah Majistret Telok Datok ini terletak di daerah Kuala Langat dan beralamat di Jalan Stadium Jugra, 42700 Banting, Selangor Darul Ehsan, nombor bangunan JKR 1257. Bangunan Mahkamah ini berhampiran dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air (Air Selangor) dan lain-lain jabatan lagi. Bangunan ini juga berhampiran dengan Stadium Jugra dan Dewan Sri Jugra, Telok Datok dan Sungai Langat terletak di belakang Mahkamah ini.

                                                                 

PENGUBAHSUAIAN DAN PENAMBAHBAIKAN PADA BANGUNAN MAHKAMAH.

Dalam tempoh 45 tahun ini, terdapat beberapa pengubahsuaian telah dilakukan terhadap bangunan mahkamah bagi menambah baik bangunan yang sedia ada. Penambahbaikan ini termasuklah, membesarkan ruang pejabat pentadbiran, ruang menunggu, pembesaran lokap tahanan dan pejabat polis mahkamah. Penambahan binaan di luar juga telah dibuat dan dinamakan astaka. Astaka ini ialah ruang menunggu di luar yang berbumbung.

SEJARAH AWAL PEMBUKAAN MAHKAMAH PATI SEMENYIH

 

Tapak Mahkamah PATI Semenyih terletak berhampiran dengan Taman Bunga Raya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih yang bertapak di dalam kawasan Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin (sekarang dikenali sebagai Depot Tahanan Imigresen Semenyih), yang mana pada awalnya adalah di bawah kawalan Jabatan Penjara Malaysia. Majlis menandatangani Penyerahan Depot Semenyih dari Jabatan Penjara Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia telah diadakan pada 15 Januari 2008 oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Yusof Abu Bakar menandatangani dokumen penyerahan Depot Semenyih manakala Jabatan Penjara diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Wan Mohamad Nazarie Wan Mahmood. Hal ehwal penjagaan kebajikan dan keselamatan depot ditugaskan sementara kepada Ikatan Relawan Malaysia (Rela). Anggota Rela bertugas menjaga depot terbabit dalam tempoh kira-kira setahun dari tarikh penyerahan.

 

Pada awal penubuhan Mahkamah PATI Semenyih pada tahun 2007, hakim yang mengendalikan kes di mahkamah ini ialah 5 orang hakim berbeza dalam mengendalikan kes secara penggiliran. Jumlah kakitangan mahkamah ketika itu hanya 4 orang kakitangan sahaja.

 

 

RUSUHAN

 

Pada Tahun 2008, telah berlaku rusuhan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih yang membabitkan 30 warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. Siasatan awal mendapati rusuhan berpunca daripada perasaan tidak puas hati pendatang asing terbabit kerana mereka akan dipindahkan ke kem tahanan lain. Disebabkan berlakunya rusuhan tersebut, Mahkamah PATI Semenyih telah ditutup untuk sementara waktu dan telah diarah untuk bersidang sementara di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi memastikan keselamatan kakitangan mahkamah terjaga dan mahkamah dapat bersidang seperti biasa.

 

 

PERSIDANGAN SEMENTARA DI MAHKAMAH SEPANG

 

Pada tahun 2009, semasa penutupan sementara Mahkamah PATI Semenyih di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, kes-kes di mahkamah ini telah bersidang sementara di Mahkamah Sepang di mana pada ketika itu, Mahkamah Sepang terletak di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sungai Pelek, Sepang. Semua kes yang dikendalikan di Mahkamah ini adalah kes-kes tangkapan oleh Imigresen Putrajaya, Shah Alam, KLIA dan Kuala Lumpur.

 

Pada Tahun 2011, Mahkamah Sepang telah berpindah ke bangunan baru. Pada tarikh 19 Mei 2011, Majlis Penyerahan Bangunan Baru Mahkamah Sepang yang bertempat di Bandar Baru Salak Tinggi telah disempurnakan oleh YB Datuk Liew Vui Keon, Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada ketika itu, semua kes-kes di bawah Imigresen Putrajaya, Shah Alam, KLIA dan Kuala Lumpur telah bersidang sepenuhnya di Mahkamah Sepang.

 

 

PEMBUKAAN SEMULA MAHKAMAH PATI SEMENYIH

 

Mahkamah Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Semenyih telah beroperasi semula pada 6 Januari 2020 di tapak asal mahkamah ini iaitu di dalam Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor.

 

Hakim pertama selepas pembukaan di tapak asal Mahkamah ini ialah Tuan Saifulakmal bin Mod Said beserta seorang penolong pendaftar dan 6 orang kakitangan lain-lain jawatan.

 

Tujuan awal penubuhan Mahkamah Khas PATI Semenyih adalah untuk mengendalikan kes-kes pendatang asing tanpa izin ini selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 yang bertujuan untuk mempercepatkan pelupusan kes- kes melibatkan tangkapan warga asing oleh pihak Imigresen.

 

Penubuhan Mahkamah Khas (PATI) Semenyih ini juga adalah bertujuan untuk mendukung prinsip kemudahan akses kepada keadilan (easy access to justice) terutama bagi komuniti atau penduduk yang jauh daripada mahkamah-mahkamah sedia ada sekali gus mengurangkan keberkesanan kos (cost effectiveness).

Pada awal penubuhan Mahkamah iaitu pada tahun 1979, Majistret dari Mahkamah Majistret Telok Datok bersidang di Mahkamah Sepang dua kali seminggu sebagai Mahkamah Litar. Mahkamah Majistret Sepang diwujudkan untuk mengendalikan kes jenayah dan sivil dalam bidang kuasa Majistret dan ditempatkan di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sungai Pelek, Sepang. Bagi kes dalam bidang kuasa Mahkamah Sesyen pula, kes didaftarkan di Mahkamah Sesyen Klang. 

 

Pada tahun 2007, Mahkamah Sesyen diwujudkan khusus untuk mengendalikan kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada tahun 2009, Jabatan Imigresen mengubahsuai Mahkamah Sesyen Khas (PATI) di Semenyih dan Mahkamah Sepang dijadikan Mahkamah Litar yang mengendalikan kes tangkapan PATI Shah Alam, Putrajaya dan Kuala Lumpur sehingga Mahkamah Sesyen Khas PATI di Semenyih dibubarkan. 

 

Pada 31 Oktober 2010, semua kes PATI didengar oleh Mahkamah Sesyen Sepang. Pada 19 Mei 2011, Majlis Penyerahan Bangunan Baru Mahkamah Sepang yang bertempat di

Bandar Baru Salak Tinggi telah disempurnakan oleh YB Datuk Liew Vui Keon mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada ketika itu, Mahkamah di Sepang hanya terdiri daripada 2 mahkamah sesyen sahaja.Namun seiring peredaran masa dan juga keperluan, 1 mahkamah majistret telah dibuka di bangunan Mahkamah Sepang pada tahun 2015.

 

Pada Januari 2020, Mahkamah Sesyen Khas PATI Semenyih telah beroperasi semula dan semua kes PATI di Mahkamah Sepang telah dikembalikan ke Mahkamah Khas PATI Semenyih.Kini, Mahkamah Sepang yang terdiri daripada 2 Mahkamah Sesyen dan 1 Mahkamah Majistret hanya mendengar kes-kes jenayah dan sivil.

SEJARAH MAHKAMAH SELAYANG

Jalan Pegawai, KM16 Jalan Ipoh,68100 Batu Caves, Selangor

 

Sebelum Mahkamah Selayang yang dikenali pada hari ini, mahkamah ini dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Litar Rawang. Mahkamah Litar Rawang mula beroperasi sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi iaitu pada 1953 di Pekan Rawang. Pada awal penubuhannya, Majistret dari Mahkamah Majistret Tanjung Malim diberi tanggungjawab untuk hadir bertugas di Mahkamah Litar Rawang sebulan sekali bagi mendengar kes-kes trafik sahaja. Kemudian apabila peranan mahkamah mulai berkembang, keskes sivil dan jenayah mula didaftarkan di Mahkamah Majistret Rawang, Majistret dari Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pula diberi tanggungjawab untuk hadir bertugas sebulan sekali untuk mendengar kes-kes yang meliputi kes-kes trafik, sivil dan jenayah bagi kawasan Gombak di Mahkamah Litar Rawang sehinggalah tahun 1986.

 

Pada bulan September 1986 peranan Mahkamah Litar Rawang dihentikan dengan tertubuhnya Mahkamah Majistret Rawang di Pekan Rawang.  Ketika Mahkamah Majistret Rawang ditubuhkan, seorang Majistret tetap ditugaskan di Mahkamah Majistret Rawang dengan  jumlah kakitangan ketika itu adalah seramai 8 orang sahaja. Tuan Pretam Singh a/l Dashan Singh merupakan Majistret pertama yang ditugaskan di Mahkamah Majistret Rawang. Ketika itu, hanya satu Mahkamah Majistret yang mengendalikan keskes trafik, sivil dan jenayah bagi kawasan Daerah Gombak.

 

Tuntutan arus pembangunan yang berlaku sekitar bandar Rawang pada lewat tahun 1999 turut melibatkan Mahkamah Majistret Rawang pada ketika itu. Mahkamah Majistret Rawang telah dipindahkan ke lokasi baru iaitu di kawasan Selayang pada 16 Disember 1999 dan beroperasi di bangunan lot kedai dengan mengekalkan nama Mahkamah Majistret Rawang sehinggalah pada tahun 2003.

 

Tanggal 13 Julai 2003 Mahkamah Majistret Rawang sekali lagi berpindah lokasi dan kali ini ke bangunan sendiri di kawasan Selayang dengan dikenali sebagai Mahkamah Sesyen & Majistret Selayang. Namun begitu, Mahkamah Sesyen hanya mula beroperasi setahun kemudian iaitu pada tahun 2004 bagi mendengar kes-kes sivil sahaja.  Puan Hayatul Akmal binti Abdul Aziz merupakan Hakim Mahkamah Sesyen yang pertama di Mahkamah Selayang tersebut. Ketika itu, terdapat juga tiga Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes sivil, jenayah dan trafik.

 

Pada 1 Januari 2012, Mahkamah Sesyen mula mendengar kes-kes jenayah bagi Daerah Gombak. Oleh demikian, tanggungjawab Hakim Mahkamah Sesyen yang sedia ada ketika itu bukan sahaja lagi mendengar kes-kes sivil tetapi juga kes-kes jenayah.

 

Pada 16 Januari 2016 struktur peranan Mahkamah Sesyen & Majistret Selayang mengalami perubahan yang mana satu lagi Mahkamah Sesyen telah dibuka manakala satu Mahkamah Majistret telah ditutup. Ketika ini satu Mahkamah Sesyen bertanggungjawab mendengar kes-kes sivil sahaja manakala satu Mahkamah Sesyen lagi bertanggungjawab mendengar keskes jenayah. Manakala bagi Mahkamah Majistret pula, satu Mahkamah Majistret mendengar kes-kes jenayah, sivil dan kanak-kanak manakala satu Mahkamah Majistret  lagi akan mendengar kes-kes jenayah, sivil dan trafik.

 

Pembahagian semula kes di antara dua Mahkamah Sesyen telah dilakukan pada 23 Oktober 2017 yang mana kedua-dua Mahkamah Sesyen mendengar kes sivil dan kes jenayah sama rata kecuali Mahkamah Sesyen 1 mendengar kes sivil kod B dan yang melibatkan injunksi, deklarasi dan ‘specific performance’ sebagai tambahan.

 

Pada 14 November 2018 pembahagian semula kes di antara dua Mahkamah Sesyen telah dilakukan sekali lagi yang mana kedua-dua Mahkamah Sesyen mendengar kes sivil dan kes jenayah sama rata kecuali Mahkamah Sesyen 1 mendengar kes-kes sivil kod-kod C (pembinaan), CY (siber), KP (kecuaian profesional) dan F (fitnah) sebagai tambahan. Ini adalah selaras dengan Pekeliling Ketua Pendaftar Bil. 2 Tahun 2018.

 

Terkini,  Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang diterajui  oleh 2 orang Hakim Mahkamah Sesyen, 2 orang  Majistret, 2 orang Penolong Pendaftar dan dibantu 24 orang kakitangan sokongan.

 

Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang ini turut menempatkan sebuah bangunan penyimpanan fail-fail lama dari Mahkamah seluruh negeri Selangor. Penambahbaikan dari masa ke semasa dan perkembangan mutu perkhidmatan Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang sentiasa diutamakan agar selari dengan peningkatan kes yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang dari tahun ke tahun.