Warna Tema        
Saiz Tulisan -A A +A
 

SEJARAH MAHKAMAH SHAH ALAM

Pendahuluan

Shah Alam menggantikan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978 kerana penubuhan Kuala Lumpur yang menjadi Wialayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Shah Alam pernah dikenali sebagai Sungai Renggam Plantation yang terkenal dengan ladang getah dan kelapa sawit. Kawasan yang sama dikenali sebagai Batu Tiga sebelum kemerdekaan Malaysia. Di bawah saranan V. Antolic, Penasihat Perancang Bandar dari Bangsa-Bangsa Bersatu, keseluruhan kawasan Simpang Renggam Plantation dijadikan sebuah Bandar oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Nama ‘Shah Alam’ telah dipilih oleh Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena nama Almarhum ayahanda baginda, Almarhum Sultan Alam Shah. Shah Alam dibuka pada tahun 1963 dengan tujuan untuk menjadikannya pusat pentadbiran Selangor. Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor pada 7 Disember 1978 dan diberikan status Bandaraya pada 10 Oktober 2000.

Mahkamah Shah Alam

Pada 16 April 1989, Mahkamah Shah Alam ditempatkan di Bangunan Plaza Perangsang, Persiaran Perbandaran Shah Alam. Pentadbiran Mahkamah Shah Alam beroperasi sepenuhnya pada 22 Mei 1989. Kepesatan pembangunan Bandaraya Shah Alam telah mendorong kepada peningkatan kes yang dibawa ke Mahkamah manakala kapasiti keluasan ruang di bangunan Plaza Perangsang tidak boleh menampung keperluan Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Shah Alam perlu mempunyai bangunannya sendiri kerana kekurangan ruang dan prasarana asas yang kondusif. Tambahan pula pada tahun 1990-an, Pusat Tanggungjawab Negeri Selangor juga mengawal selia pentadbiran Mahkamah Rendah iaitu di Daerah Klang/Kuala Langat, Daerah Petaling Jaya/Shah Alam, Daerah Gombak/Hulu Selangor, Daerah Kuala Selangor/Sungai Besar dan Daerah Hulu Langat/Sepang.

Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pemberian milik tanah di Lot T2 Seksyen 5 Bandar Shah Alam dalam Daerah Petaling dengan keluasan 3.25 hektar yang dikenal pasti sebagai tapak pembinaan bangunan baru Mahkamah Shah Alam. Bangunan baru Mahkamah Shah Alam diduduki sepenuhnya pada 1 Ogos 2000. DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke Sebelas, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj berkenan mengurniakan jam besar untuk diletakkan di hadapan Bangunan Utama Mahkamah Shah Alam.

Pada 14 Oktober 2000, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj telah merasmikan bangunan Mahkamah baru Shah Alam Selangor yang menempatkan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di bawah satu bumbung. Selain itu juga, bangunan yang sama ini turut menempatkan 6 Mahkamah Tinggi, 4 Mahkamah Sesyen dan 6 Mahkamah Majistret.

Pembinaan Bangunan Tambahan (ANNEX) Dan Kemudahan

Seiring dengan kemajuan dan pembangunan pesat di negeri Selangor dan komitmen berterusan kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan mutu perkhidmatan Badan Kehakiman, Kerajaan meluluskan pembinaan bangunan tambahan yang melibatkan kos projek sebanyak RM93.1 juta. Bangunan tambahan ini mengandungi 13 bilik bicara yang terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Mahkamah Sesyen Khas Perdagangan, Mahkamah Jenayah Am dan Mahkamah Sivil. Bangunan Tambahan ini juga dikenali sebagai Bangunan Annexe.

Dengan terbinanya Bangunan Annexe ini, Mahkamah Shah Alam yang dikenali juga dengan Mahkamah Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah keseluruhannya mempunyai 41 bilik bicara yang menempatkan 22 Mahkamah Tinggi, 14 Mahkamah Sesyen dan 5 Mahkamah Majistret. Semua Mahkamah ini dilengkapi dengan Sistem Rakaman dan Transkripsi (Court Recording and Transcription System/CRT) yang membolehkan pengguna mengakses rakaman audio dan visual prosiding mahkamah.

Selain itu, terdapat 2 mahkamah terbuka yang dilengkapi dengan Sistem Saksi Rentan (Vulnerable Witness System) yang membolehkan keterangan saksi rentan dibuat di dalam bilik khas dan boleh diakses oleh Hakim, Pendakwa Raya dan Peguam di mahkamah terbuka. Terdapat sebuah bilik lelong, perpustakaan, surau, cafeteria dan ruang meletak kenderan untu Pegawai Kehakiman, kakitangan Mahkamah, Peguam dan orang awam.

Majlis Perasmian Bangunan Tambahan (Annexe) Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 12 Mei 2011. Turut hadir dalam Majlis Perasmian ini ialah YAA Tun Zaki bin Tun Mohamed Azmi, Ketua Hakim Negara, YAA Tan Sri Ariffin bin Zakaria, Hakim Besar Negara, dan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid Bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor serta semua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam.

Pada 3 September 2012, Mahkamah Sesyen Khas yang mengendalikan kes berkaitan dengan Alam Sekitar diwujudkan melalui Pekeliling Ketua Pendaftar Bil.3 Tahun 2012 yang dikenali sebagai Mahkamah Sesyen Khas Alam Sekitar atau Green Court di Negeri Selangor. Sebanyak 7 Mahkamah Sesyen Khas dan 3 Mahkamah Majistret Khas ditubuhkan bagi maksud ini. Cetusan wacana “Green Court” bermula pada 14 Januari 2012, sewaktu Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2012 oleh YAA Tun Ariffin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara yang telah mengumumkan penubuhan Mahkamah Sesyen Khas untuk mengendalikan kes di bawah undang-undang alam sekitar.

Bermula pada 1 April 2013, sebuah Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah dikhaskan untuk mendengar kes pembinaan. Pada 14 April 2013, Mahkamah Pembinaan (Construction Court) telah dirasmikan oleh YAA Tun Ariffin Bin Zakaria, Ketua Hakim Negara. Kewujudan Mahkamah Pembinaan telah meletakkan nama Malaysia sebagai Negara kedua di dunia yang mempunyai Mahkamah Khas bagi industri pembinaan selepas negara United Kingdom yang menubuhkan Mahkamah Teknologi dan Pembinaan (TCC) di London.

Pada 28 Februari 2014, YAA Tun Ariffin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara merasmikan Pusat Mediasi Mahkamah Selangor di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Turut hadir pada Majlis Perasmian ini ialah YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya dan YA Datuk Ramly Ali, Hakim Pengurus bagi Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Sivil). Proses mediasi di mahkamah adalah percuma dan perantara terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi dan Pegawai Kehakiman.

Halaman 1 dari 9